Cara-cara Mengatasi Masalah Kutu pada Musang Pandan Anda

Pada mulanya, saya tak perasan yang Luca ada masalah kutu. Yang saya perasan cuma di beberapa bahagian badan dia seperti pangkal ekor, belakang badan, bawah dagu dan leher dia ada tompok-tompok kemerahan.

Saya rasa pelik sebab di sekeliling tompok-tompok merah tu pulak ada benda hitam kecil-kecil saiznya tapi bila saya perhatikan, tak macam kutu pun. Jadi, saya ambil kain, basahkan sedikit dan gosokkan di bahagian kulit yang bertompok-tompok merah tu.

Rupa-rupanya tompok-tompok tersebut adalah darah (tapi dalam amaun yang sedikit). Ini berlaku kerana Luca kerap menggaru badannya dan kukunya yang tajam menyebabkan kulitnya menrengsa dan luka.

Haa tengoklah kuku tu dah macam Werewolf dah tajam dia, mana tak luka kulit dia kan?

Ya, saya risau. Sebabnya saya belum tahu apa punca yang menyebabkan dia menggaru sekerap itu sehingga kulitnya berdarah.

Apa Yang Perlu Dilakukan Jika Musang Pandan Anda Dijangkiti Kutu?

Bawa ke Klinik Haiwan Eksotik

Pertama sekali, bawa haiwan eksotik anda itu ke klinik doktor haiwan eksotik. Bukan saya nak kata tak boleh bawa ke klinik doktor haiwan biasa (haiwan domestik), tapi bukan semua doktor haiwan biasa ada pengalaman atau kepakaran dengan haiwan eksotik.

Saya pernah cerita bagaimana doktor haiwan biasa salah rawat musang pandan saya dulu.

Kalau korang pernah baca cerita-cerita saya tentang Luca, dari umur Luca beberapa minggu lagi saya bawa dia ke seorang doktor haiwan di Taman Melawati (berhampiran Zoo Negara) je yang bernama Dr. Vellayan.

Sehari sebelum saya bawa Luca ke Dr. Vellayan, saya ternampak seekor kutu warna hitam di bawah dagu Luca. Kutu ini sama jenis dengan kutu lompat-lompat yang selalu ada kat kucing.

Masa tu, saya dah risau dah kot-kot saya pembawa kutu ni sebab saya ada seekor kucing yang diasingkan dari Luca (waktu siang Luca akan tidur di bilik saya dan malam akan ke bilik khas Luca sendiri manakala kucing saya pula cuma dibenarkan berlegar-legar di dalam rumah pada waktu siang dan malam akan diletakkan ke kandangnya di luar rumah).

Bila saya bawa Luca ke Dr. Vellayan, beliau cadangkan untuk memberi suntikan Ivermectin.

Ivermectin ni dua kali disuntik ke Luca. Pertama kali, disuntik 1.5ml (sebab berat badan Luca +/- 5kg) dan selepas dua minggu bila dibawa ke Dr. Vellayan sekali lagi untuk pemeriksaan susulan, masih lagi ada kemerah-merahan di badannya (dan saya pun dapat tangkap seekor kutu dan saya rendamkan ke dalam larutan alkohol untuk diperiksa Dr. Vellayan) lalu, Luca disuntik buat kali kedua.

Saya gembira sangat harga suntikan tu murah!

Gunakan sikat kutu

Cara lain saya gunakan untuk cepat buang kutu di badan Luca (sebab saya kesian tengok dia asyik menggaru je) ialah dengan menggunakan SIKAT KUTU.

Ya, guna je sikat kutu untuk rambut macam yang digunakan pada kanak-kanak tu.

Banyak kutu yang saya dapat dengan menggunakan sikat ni

Saya beli sikat ni online sebab saya fikirkan sikat ni tak tajam dan takkan menyakitkan Luca sangat (biasalah, perasaan mak-mak memang macam ni).

Harganya boleh tahan juga mahal tapi sikat ni boleh juga gunakan untuk sikat harian buang bulu-bulu gugur dan sebagainya. Jadi berbaloi lah juga.

Sebolehnya, jangan campur sikat kutu dengan haiwan perliharaan yang lain ya. Sebab kadang-kadang ada benda mikro kita tak nampak yang mungkin boleh jangkiti haiwan kita yang lain pula.

Saya memang gembira sangat bila gunakan sikat kutu ni. Sekali sikat dapat seekor dua, fuhh, terus saya tenggelamkan dalam larutan alkohol biar mampos (haa, mak marah tau! Sebab kutu-kutu ni lah kulit Luca luka-luka jadinya).

Kutu yang direndam dalam larutan alkohol

Ada kutu warna hitam, ada juga keperang-perangan. Semuanya mati haha padan muka!

Mandikan Musang Pandan Anda

Akhir sekali, bila kerengsaan pada kulit Luca berkurangan dan kutu-kutu pun dah saya tenggelamkan ke dasar larutan alkohol, saya pun mandikan Luca.

Ada dua pilihan. Sama ada nak mandikan dengan larutan Potassium permanganate atau dengan syampu yang mempunyai bahan Chlorhexidine di dalamnya.

Larutan Potassium permanganate
Syampu yang mempunyai bahan Chlorhexidine

Luca tak suka bau larutan Potassium permanganate walaupun sebenarnya ia sejenis antiseptik yang baik untuk haiwan. Saya tak nak Luca meronta-ronta bila saya mandikan dia sebab fuhh, penat oii kalau dia meronta-ronta waktu mandi.

Jadi, saya gunakan syampu yang mempunyai bahan Chlorhexidine. Saya campurkan dengan air sebelum menggosok campuran tersebut ke kulit Luca. Cumanya bila guna campuran syampu ni kena biarkan selama lebih kurang 10 minit sebelum membilas badan Luca. Jadi, gigih juga la pegang Luca selama 10 minit dan cuba elakkan dia dari menjilat badan dia.

Nota Tepi: Larutan Potassium permanganate atau Syampu yang mempunyai bahan Chlorhexidine ini baik juga untuk digunakan pada haiwan domestik. Terutama kalau yang ada masalah kulit (kulit kering/ fungus/ dan lain-lain).

Selepas mandikan Luca, bukan saja tompok-tompok merah pada badannya berkurang, ada kutu yang saya tersorok celah mana entah pun lemas sekali dalam campuran air dan syampu tu. Yessss!

Selepas mandi, baru lah syok nak tidur, ye tak?

Nota Kaki: Luca cuma dimandikan seminggu selepas suntikan Ivermectin. Ini untuk memberi masa Ivermectin itu bertindak balas dalam badan dan permukaan kulit Luca.

P/S: Musang Pandan adalah sejenis haiwan yang membersihkan dirinya dengan teliti setiap hari. Sebolehnya, tak perlu mandikan Musang Pandan anda dengan kerap (sebulan sekali pun dah cukup). Mandikan dengan air suam dan jangan dibiar basah terlalu lama. Musang Pandan peliharaan kerap terkena Pneumonia (radang paru-paru) kerana tuan mereka kerap memandikan mereka. Pneumonia boleh menyebabkan kematian.

Hai. Jom ikuti Luca di Instagram!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.